Bagaimana Mematangkan Anak?
Sering kali seorang ayah itu menggelengkan kepala melihat anaknya yang kelihatan tidak seperti umurnya. Berperangai seakan-akan jauh lebih muda dari usianya yang sebenar.
Alangkah baiknya jika anak tersebut mempunyai perasaan bertanggungjawab, mempunyai inisiatif yang tinggi dan menyimpan cita-cita yang hebat.
Alangkah bangganya jika anak tersebut mempamerkan ciri-ciri seorang pemimpin, keyakinan seorang yang berilmu bahkan ketinggian akhlaq seorang yang beriman.
Namun impian tidak semudah hanya bercita-cita. Ianya harus diusahakan dan dibentk pada dari usia yang masih muda. Bak kata orang melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Saudara, marilah kita melihat beberapa petua untuk mematangkan anak yang saya perolehi dari salah satu Khutbah Jumaat yang pernah saya hadiri dahulu.
Petua-Petua
1. Berilah anak kita gelaran yang membangkit rasa dewasa.
Gelarlah anak kita dengan gelaran “Abang” atau “Along.” Bahkan kita juga boleh memberikan kuniyyah[1] kepada anak kita menurut apa yang pernah Rasulullah (saw) lakukan dahulu kala. Seperti “Abu Umayr” dan “Abu Ahmad” atau “Abu Suhaib”.
Panggilan ini sepastinya bukan panggilan yang manja, bahkan panggilan ini seharusnya membangkitkan rasa tanggungjawab dan rasa dihargai oleh yang lebih dewasa darinya.
2. Bawalah anak kita menghadiri majlis orang dewasa.
Sayyidina ‘Umar (ra) pernah membawa Ibnu ‘Abbas (ra) yang masih dikira kanak-kanak lagi di kalangan para sahabat ke suatu majlis yang dihadiri oleh orang dewasa [2].
Seorang anak itu cepat meniru dan bersama dengan apa yag disekelilingnya. Jika dia selalu dikelilingi oleh orang dewasa, maka perilakunya lebih cepat dewasa disamping perasaan tanggungjawab itu lebih awal tertanam dalam jiwanya.
3. Iktiraflah anak kita sebagai dewasa di khalayak.
Dalam kisah Sayyidina Ibnu ‘Abbas (ra) yang di atas, Sayyidina ‘Umar telah mempertahankan hak Ibnu Abbas untuk berada di situ [2]. Ini membangkitkan lagi rasa keyakinan diri seorang anak dan membina semangat dan motivasinya untuk terus bersama dalam majlis-majlis Islami.
Usahlah menghina anak kita di khalayak. Ini membunuh semangat dan menimbulkan dendam.
Namun demikian realiti yang mungkin kita dapat lihat pada hari ini ialah kecenderungan orang dewasa untuk menghalau anak-anak dari majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir lantaran kerana tidak mahu anak tersebut mengganggu perjalanan majlis. Jika benar mereka telah mengganggu majlis, maka hantarlah keluar dengan baik. Tetapi sekiranya tidak, berilah peluang untuk mereka membina kematangan diri.
Saudara, ingatlah bahawa anak-anak lebih mudah terasa berbanding dengan orag dewasa. Sedikit sahaja tengkingan atau gertakan, dan barangkali mereka akan ingat sehingga dewasa. Boleh jadi peristiwa yang satu itulah yang menjadi sebab mereka menjauhi majlis-majlis Islami di masjid dan di surau.
Saudara, berusahalah untuk bersabar dengan kerenah anak-anak, kerana manfaat jangka panjang jauh lebih bermakna.
4. Ajarlah anak kita sukan lasak.
Ini boleh meningkatkan daya tahan mereka disamping membangunkan keyakinan diri yang hebat.
Jika kita lihat pada anak-anak yang dibesarkan di Palestin dengan penekanan dan kekurangan dari segenap segi, kita dapat melihat anak-anak singa yang tidak takut menghadapi cabaran. Mereka tidak takut untuk gagal. Mereka tidak gentar menghadapi musuh. Inilah ruh yang kita ingin bangkitkan pada diri anak-anak kita melalui aktiviti dan sukan yang lasak.
Antara aktiviti yang boleh kita bawa anak bersama ialah berkhemah di hutan, berkayak di sungai., mendaki gunung, dan seribu satu macam aktiviti yang memerlukan daya tahan mental, kesabaran ruh dan kekuatan stamina fizikal.
5. Elakkanlah dari menyifatkan anak lelaki dengan sifat perempuan.
Anak lelaki itu harus dididik untuk membangunkan wibawa. Menyifatkan anak-anak dengan sifat perempuan adalah jauh dari menyifatkannya dengan fitrah seorang lelaki. Fitrah lelaki adalah gagah dan berani. Alangkah ruginya anak singa yang dibesarkan dengan bayangan bahawa dialah anak kambing. Hilang taringnya; hilang perwiranya.
6. Didiklah anak kita untuk menjaga kerahsiaan.
Rahsia adalah satu tanggungjawab. Mengamanahkan rahsia adalah memberikan tanggungjawab yang perlu anak tersebut jaga. Ini membangkitkan lagi perasaan dihargai dan dipercayai kepada anak tersebut.
7. Hindarlah anak-anak dari kemewahan. Ajarlah anak kita dengan kesusahan dan usaha.
Kemewahan itu menumpulkan usaha dan kreativiti dan menggemukkan sikap malas. Jadi saudara, walaupun saudara adalah seorang yang mempunyai harta, usah layankan semua kehendak anak kita. Bahkan berikan hanya perkara yang mereka teramat perlu sahaja.
Didiklah mereka dengan usaha demi mendapat apa yang mereka mahu. Dan didiklah mereka dengan motivasi yang paling tinggi, iaitu redha dan janji ALLAH yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Alangkah hebatnya anak yang menghalakan kehidupannya demi keredhaan ALLAH. Alangkah hebatnya kurnia ALLAH kepada ibubapa yang berjaya mendidik anaknya sehingga tahap itu.
Wallahu a’lam.
[1] Gelaran dengan perkataan “Abu” = Bapa.
[2] Dikisahkan dalam Tafsir Surah An-Nasr, Tafsir Ibnu Kathir.
Post yang berjudul "Bagaimana Mematangkan Anak?" telah ditulis oleh:

Comments
Powered by Facebook Comments