Kuasa Penggandaan
Seorang eksekutif pemasaran yang bijak tidak akan menjual satu-satu barang hanya dengan kudrat dirinya sendiri.
Apa yang saya maksudkan?
Maksud saya ialah seorang eksekutif pemasaran yang bijak akan berusaha untuk satu-satu mesej pemasarannya itu juga dibawa dan disampaikan oleh orang lain. Cuba bayangkan:
- Eksekutif tersebut menyampaikan satu mesej yang mudah,
- kemudiannya diambil oleh orang yang mendengarnya atau melihatnya
- dan disampaikan pada yang lain,
- yang kemudian mengulangi langkah 2 di atas dan seterusnya.
- Akhirnya manfaat akan pulang pada eksekutif pemasaran tersebut tanpa perlu dia melakukan kerja-kerja yang berulang dan berulang dan berulang.
Mari kita perhatikan apa yang dia perolehi.
- Dia berjaya membuat sebaran maklumat yang lebih luas capaiannya
- Dengan usaha yang kurang, (tetapi smart),
- Maka boleh diandaikan lebih ramai yang akan membeli daripadanya
- Dan berterusan dari itu, keuntungan yang bakal diperolehi akan dilipat-gandakan berbanding jika dia melakukan marketing tanpa penerusan mesej oleh pengguna (penerima mesej).
Inilah yang dinamakan “viral marketing.” Atau pemasaran viral. Tujuannya ialah menjadikan setiap penerima mesej sebagai pembawa mesej yang baru. Keadaan ini langsung menggandakan keuntungan yang boleh diperolehi.
Jadi apa kaitannya dengan kita sebagai Muslim?
Mari kita lihat beberapa persoalan yang sangat rapat dengan kita:
- Adakah saudara terdiri dari golongan orang yang mendirikan solat?
- Adakah saudara seorang yang sentiasa bertaubat?
- Adakah saudara seorang yang takutkan ALLAH?
- Adakah saudara seorang yang suka bersolat malam?
- Adakah saudara seorang yang sangat suka bersedekah walau siapa pun yang meminta?
- Adakah saudara seorang yang sangat cintakan al-Haramain, sehingga berusaha untuk pergi dan pergi lagi?
- Adakah saudara seorang yang… (tambah ‘ibadah kesukaan anda di sini).
Nah, adakah saudara berkata “YA” kepada paling kurang satu soalan di atas? Saya pasti, semua orang yang membaca artikel ini sepastinya tergolong dalam salah satu golongan. Maka saya boleh simpulkan saudara adalah seorang yang baik. Tahniah!
Sepastinya ALLAH akan mengganjari saudara dengan ganjaran yang setimpal dengan apa yang saudara kerjakan.
TETAPI…
Tanyalah juga soalan ini…
Berapa ramaikah yang pernah saudara ajak untuk melakukan ‘ibadah yang saudara paling suka?
Penggandaan kebajikan
Ketahuilah saudara bahawa orang yang mengajak orang lain melakukan kebaikan dan ajakannya dipenuhi, maka ganjaran yang diperolehi oleh saudara adalah sama dengan ganjaran yang diperolehi oleh orang yang mengikuti itu tanpa dikurangi sedikit pun [1].
Mari kita buat kira-kira:
- Saudara adalah seorang yang suka bertahajjud.
- Saudara juga tahu bahawa ganjaran bertahajjud ini adalah sangat banyak.
- Dan saudara juga tahu setiap kerja kebajikan yang kita lakukan akan digandakan 10.
- Kemudian saudara berusaha, mengajak dan berjaya mendapatkan 10 orang lagi untuk istiqamah bertahajjud
- (10 + 1)*10 = 110 kali ganjaran yang sudah sedia sangat banyak!
Kita lihat ayat Qur’an di bawah:
إِن تُبْدُواْ الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاء فَهُوَ خَيْرٌ لُّكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [2]
“Menampakkan sedekah” di sini bukanlah bermaksud dngan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi agar menjadi contoh yang diikuti oleh orang lain.
Maka alangkah bahagianya saudara yang disamping berusaha untuk mengabdi diri kepada ALLAH, saudara juga menjadi sebab manusia lain mendekatkan diri kepada ALLAH.
Penggandaan sebaliknya
Tetapi AWAS saudara… Kuasa penggandaan ini juga berfungsi sebaliknya. Seandainya saudara menganjurkan kerja-kerja buruk dan ‘amalan buruk saudara itu diikuti, maka saudara juga menanggung beban dosa itu tanpa dikurangi sedikit pun! [3]
Cuba bayangkan saudara menerima saham dari SATU dosa yang saudara lakukan dan orang lain mencontohinya. Kemudian mereka terus menyebarkan dan terus menyebarkannya. Sangat rugilah saudara kerana lantaran dosa yang asalnya kecil namun mengganda menjadi besar!
Kesimpulan
Oleh itu dari perbincangan kita kita boleh simpulkan perkara berikut:
- Tambahkanlah kerja-kerja yang baik demi keredhaan ALLAH, dan jangan berhenti di situ sahaja, bahkan
- War-warkan dan promosilah kerja yang baik tersebut, mudah-mudahan
- Saudara mendapat ganjaran yang berlipat-ganda dari ALLAH.
- Kurangkanlah dosa-dosa yang saudara lakukan, dan
- Sembunyikanlah dosa-dosa tersebut. Mudah-mudahan
- Saudara diampuni ALLAH dan
- Saudara tidak mendapat saham yang memberatkan timbangan buruk di akhirat kelak!
[1] Sahih Muslim, Kitab al-’Ilm, Bab 6
[2] Quran, al-Baqarah (2):271
[3] Rujuk [1]
Post yang berjudul "Kuasa Penggandaan" telah ditulis oleh:

Comments
Powered by Facebook Comments