Quran.com

al-Quran itu panduan, petunjuk, kitab, dan pembeza baik dan buruk (al-furqan)

Saya selalu tertanya-tanya sama ada saya ini adalah tergolong golongan beriman ataupun tidak. Jiwa saya akan kacau setiap kali hadir persoalan ini.

Apatah lagi dalam keadaan diri saya ini sebentar beramal seperti orang baik, sebentar lagi berpaling semula.

Lantas timbul persoalan dari manakah atau dari sumber apakah boleh ku dapati piawai untuk ku tentukan di mana diriku di atas sekala fasiq-taqwa.

Dari mana lagi dapat ku dapati melainkan dari sumber yang paling agung, iaitu al-Quran. Utusan cinta tuhan buat hambanya yang mahu mendengar.

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَن كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ

Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.

al-Quran, Qaf (50):37

Maka siapakah yang beriman?

Orang yang Beriman

Orang yang beriman itu mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

  1. Beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya (saw) serta tidak ragu atas perkara itu. (24:62, 49:15)
  2. Bila disebutkan nama ALLAH, gementar hatinya. (8:2)
  3. Bila dibacakan kepada mereka ayat-ayat ALLAH, bertambah imannya. (8:2)
  4. Mereka bertawakkal kepada ALLAH. (8:2)
  5. Solatnya khusyuk dan dipelihara bersungguh-sungguh. (23:2, 23:9)
  6. Ia khusyuk kerana ingat ALLAH dan berharap bertemu dengan-Nya. (2:46)
  7. Ia menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia. (23:3)
  8. Ia menunaikan zakat. (23:4)
  9. Ia memelihara kemaluannya, kecuali ke atas isterinya. (23:5-6)
  10. Ia menunaikan janji. (23:8)
  11. Ia berjihad dan menyumbang ke jalan ALLAH (swt) dengan harta dan jiwanya. (23:8, 49:15)

Semoga ALLAH menjadikan kita orang yang apabila mendengar ayat-ayat ALLAH, kita menjadi gentar jiwa lalu bertambah iman kita.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

al-Quran, al-Anfaal (8):2

Post yang berjudul "Bila Membaca Surat Cinta Dari Tuhan" telah ditulis oleh:

'Umayr Sayfurrahman bin Ainullotfi

Comments

comments

Powered by Facebook Comments