Sujud itu lambang ketundukan pada yang Maha Berhak atas Ketundukan

ALLAH telah berfirman:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
“(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

Surah Al-Baqarah (2):43-46

Ayat-ayat ini adalah sebahagian daripada ayat-ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah di dalam bahagian di mana ALLAH mengungkit kepada Bani Israil tentang betapa ALLAH telah banyak memberi nikmat pada mereka, maka mereka hendaklah tunduk kepada ALLAH yang Maha Kuasa.

Guru saya pernah menyebut bahawa apabila ALLAH menyebutkan dan mengisahkan tentang Bani Israil bukan bermakna ianya kisah silam, tetapi hendaklah kita merujuk dan memuhasabah diri tentang diri kita dan masyarakat kita.

Baru-baru ini apabila saya membaca ayat-ayat yang di atas ini, saya menjadi cukup resah apabila tiba pada ayat ini:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
“(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

Bila saya membaca ayat ini saya jadi jiwa saya jadi kacau. Hati tiba-tiba dilanda rasa sedih. Bahu terasa berat.

Memang. Beberapa waktu dan ketika yang mutakhir ini saya jarang berasa khusyuk dalam solat. Bahkan saya selalu leka dengan al-Lahwu dan al-La’ib.

Tiba-tiba ALLAH ilhamkan saya berusaha untuk menghafal semula bahagian awal daripada al-Quran ini sehingga ke ayat ini. Lantas terus saya merasa terpukul.

Seakan-akan ALLAH berbicara dengan saya, bahawa jika saya ingin masuk ke syurga saya harus khusyuk dalam solat. Dan untuk khusyuk, saya harus ingat bahawa pertemuan dengan ALLAH itu pasti. Bahawa pulang kepada ALLAH itu pasti.

Tidak ada perisai lain melainkan solat. Bukan tidak selalu saya dengar:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Surah Al-Ankabut (29):45

Saya selalu berdo’a agar ALLAH memberikan kekuatan untuk melawan dugaan zaman moden ini. Agaknya inilah jawapannya. Bahawa saya perlu sentiasa beringat akan bertemu ALLAH kelak di sana.

ALLAHU a’lam. Innahu ‘aliimun hakiim.

Post yang berjudul "Ingatlah Solat" telah ditulis oleh:

'Umayr Sayfurrahman bin Ainullotfi

Comments

comments

Powered by Facebook Comments