Tanggung Dosa atau Tanggungjawab?
- Suami
- Bapa
- Adik-Beradik Lelaki
- Anak lelaki
Konsep ini tidak kena dengan mafhum ayat-ayat di bawah ini.
Tidaklah akan ditanggung satu-satu kejahatan melainkan oleh yang mengerjakannya sahaja. Semua orang bertanggungjawab atas apa yang dia kerjakan sendiri. Kalau dia sesat, dia akan kena. Kalau di akhirat dia panggil orang lain untuk tanggung beban dosanya, tidak akan juga terpikul dosa tersebut oleh orang lain. (6:164, 17:15, 35:18, 39:7)
Dalam suhuf Nabi Musa dan Nabi Ibrahim juga menyatakan perkara ini. Bahawa setiap jiwa itu tidak menanggung beban dosa orang lain dan hanya memperoleh hasil kerjaannya sendiri*.(53:36-41)
Setiap jiwa itu akan mendapat balasan kepada apa yang dia kerjakan, sama ada baik atau buruk. Dia tidak akan terlepas. Walaupun kerjanya itu hanya sebesar zarah. (40:16-17, 45:21-22, 74:38)
Maka berdasarkan semua ayat-ayat di atas, tidak ada alasan untuk mengatakan sesiapa akan menanggung dosa orang yang lain. Tidak ayahnya, tidak anaknya, tidak suaminya dan tidak saudara lelakinya.
Yang ada mungkin kecuaian tanggungjawab oleh mereka yang saya sebutkan ini. Iaitu mungkin seperti berikut:
1. Seorang ayah yang tidak pernah berusaha untuk mendidik anak perempuannya menutup aurat. Dia akan tanggung kecuaian ini.
2. Seorang suami yang tidak berasa apa-apa apa lagi berbuat sesuatu ketika isterinya melakukan maksiat dihadapannya. Dosa ini pasti tertanggung.
Dan lain-lain lagi… Yang pasti, manusia tidak menanggung dosa orang lain.
Oleh itu, buat bapa-bapa, suami-suami dan ahli keluarga lelaki, pastikan anda menjaga ahli keluarga anda dari api neraka. Pastikan mereka terdidik dengan didikan Islam. Tegurlah mereka dengan baik. InsyaALLAH, usaha kita itulah pelepas tanggungjawab di akhirat.
Buat yang ibu-ibu, anak-anak perempuan, isteri-isteri dan ahli keluarga perempuan, pastikan diri anda sendiri terlepas dari api neraka. Bapa dan suami hanya menanggung dosa tidak mendidik anda semua, anda sendiri akan menanggung dosa-dosa sendiri. Dosa anda tidak akan dipikul oleh selain dari dirimu.
WALLAHU a’lam. Semoga Al-Quran menjadi hujah buat kita dan bukan hujah ke atas kita.
Post yang berjudul "Tanggung Dosa atau Tanggungjawab?" telah ditulis oleh:

Comments
Powered by Facebook Comments