Mata Arman melirik ke wajah manis Khaulah, isterinya. Wajah yang sentiasa tenang dan wajah yang sentiasa terhias senyuman yang menyemarakkan perasaan kasih Arman.

“Abang?” ujar Khaulah, hairan. “Kenapa pandang macam tu?”

“Heh, takde lah. Cuma pagi ni Abang tengok Sayang macam cantik semacam.” Arman mengucup dahi isterinya.

Senyuman Khaulah semakin mekar, “Ada-ada je la Abang ni.”

“Abang, Khaulah pergi sekolah dulu ya.” Khaulah menghulurkan tangan untuk mengucup tangan suaminya.

“Baik Sayang, pandu baik-baik ya.”

Arman menunggu di pintu sambil melihat Khaulah pergi. Mindanya mengelamun terkenang tuah diri.

Masakan tidak? Sesiapa yang menjadi suami Khaulah pasti bertuah. Solehah, warak, sangat menjaga batasan agama dan sepastinya seorang guru yang dikasihi anak-anak didiknya.

Ya, di sekolah Khaulah, siapa yang tidak mengenali Ustazah Khaulah. Ustazah yang begitu mengambil berat tentang perkembangan anak-anak didiknya. Isterinya itu sanggup meluangkan masa tanpa berbayar untuk memastikan anak-anak didiknya kenal siapa itu ALLAH. Tidak kira malam mahupun siang.

Kalau anak murid dijaganya begitu, apatah lagi suami, yang seharusnya lebih rapat di jiwa isteri.

Arman tahu, Khaulah suka untuk apabila suaminya memimpin solat. Isterinya itu selalu berlumba menjadi orang yang pertama mengajak solat bila tiba waktunya. Khaulah juga tidak pernah lupa untuk membentangkan sejadah buat suaminya.

Ya, memang aku bertuah. Itulah rasa hati Arman. Sehingga aku tidak layak menjadi suaminya seandainya dia tahu siapa aku yang sebenar.

“Bagaimana kita hendak mengenali ALLAH?” soalan tentang iman menjadi pembuka bicara Khaulah kepada kelas 2 Harapan. “Adakah kita perlu melihat ALLAH untuk mengenali ALLAH?”

“Sepastinya tidak. Kita mengenali ALLAH melalui petanda-petanda yang ALLAH sediakan untuk kita.” Khaulah menjawab persoalan itu sendiri sambil membuka minda pelajarnya untuk berfikir.

“Di antara petanda-petanda ALLAH ialah ayat-ayat al-Quran. Lantaran itu sangat penting untuk kita membaca al-Quran dan kita fahamkan apa yang ALLAH turunkan untuk kita.

“Di antara petanda-petanda ALLAH juga ialah ciptaan ALLAH di alam ini yang pelbagai. Kita diajak berfikir oleh ALLAH mengenai ciptaan-ciptaan Dia yang Maha Esa. Kalau tidak masakan di dalam al-Quran itu banyak menyebut ‘apakah kamu tidak berfikir?’ atau ‘apakah kamu tidak berakal?’ ALLAH juga banyak memberi pujian bagi golongan yang berfikir atau berilmu.

“Maka ini menunjuk peri pentingnya kita mengkaji ciptaan ALLAH demi mengukuhkan keimanan kita.”

Arman berhenti menaip. Dia mengangkat tangan tinggi meregangkan otot belakang setelah lama duduk kaku menghadap komputer.

Projek rekaan laman web boleh membawa hasil yang banyak. Satu laman web yang direka khas untuk satu-satu syarikat boleh mencecah USD3000 berdasarkan keperluan syarikat tersebut. Ini termasuk ‘custom css design’, ‘js functionality’, ‘ajax’ dan ‘SEO-friendly links and layout.’

Inilah punca pendapatannya sejak tamat pembelajaran di universiti. Dan dia tidak pernah menyesal menjadi ‘web developer’ dan ‘web-designer.’

Kerja ini memungkinkan Arman kerja di rumah dan ia juga memungkinkan Arman menguruskan masanya sendiri.

Tangan Arman menguis-nguis tetikus. Kepala ligat berfikir aktiviti untuk menghilangkan kebosanan dan keletihan menghadap kod PHP.

Best juga ni kalau buka laman tu. Detik hati Arman, membayangkan laman web yang tidak akan pernah dibuka hadapan sesiapa pun yang lain.

Sudahlah tu! Kau dah cukup banyak berbuat dosa! Keimanannya memulakan hujah pertarungan dalam jiwa Arman. Apa kau ingat boleh masuk syurga macam ni?!

Ala takpe… Bisikan rayuan nafsu lebut memujuk. Bukan ada sesiapa melihat. Ok, baik, ALLAH melihat, tapi kau kan boleh bertaubat!

Taubat, taubat, taubat. Berapa kali telah kau mungkiri taubatmu itu?! Sudahlah tu… Kali terakhir tu jadikan yang terakhir.

Sekali ni je lagi. Lepas ni kau taubat la bebetul.

Biarpun hatinya gelisah memberontak, namun tangan Arman perlahan mencapai tetikus.

Khaulah melangkah keluar kelas dengan perasaan ringan dan gembira. Membantu pelajar mendekatkan diri kepada ALLAH sentiasa memberikan menjadikan dirinya riang dan ceria.

Khaulah selalu berpegang pada ayat dalam surah Muhammad, “Sekiranya kamu membantu ALLAH, nescaya ALLAH akan membantu kamu.” Oleh itu setiap kebaikan yang dilakukan Khaulah sentiasa diharapkan keredhaan ALLAH.

Mengharap kebaikan dari ALLAH itulah menjadi kekuatan dorongan yang utama buat Khaulah.

Dorongan keduanya ialah suaminya, Arman. Khaulah cukup bahagia dengan sikap suaminya terhadapnya. Tidak pernah dia dimarahi, bahkan suaminya sentiasa meluang masa untuk mebantunya dengan projek-projek dakwahnya untuk pelajarnya. Suaminya tidak pernah mengucapkan keluhan kerana terpaksa membantunya.

Sebelum pernikahan mereka dua tahun lepas, Khaulah cukup kagum dengan perwatakan lelaki yang kini bergelar suaminya. Arman punyai sifat mudah didekati, murah senyuman dan daya kepimpinan yang cukup tajam. Arman juga bila berbicara tentang Islam cukup fasih bibirnya mengulitkan ayat-ayat suci Tuhan.

Setelah bernikah, Arman menunjuk sifat halus dirinya yang sentiasa mengambil kisah kebajikan dirinya. Arman suka menyebutkan kata-kata yang mencuit jiwa wanitanya yang ingin dibelai dan dimanja.

Sifat inilah yang membakar rasa cinta Khaulah pada insan bernama Arman, suaminya.

“Uhuk, uhuk.” Khaulah terbatuk kecil, memutuskan lamunannya.

Dia berhenti sejenak mengambil nafas. Sudah beberapa minggu dia terbatuk-batuk. Namun Khaulah tidak membiarkan kelemahan kecil seperti batuk melemahkannya. Jika sahabat dan sahabiah zaman nabi mampu menahan derita fizikal demi agama ALLAH, mengapa tidak dia?

Khaulah terlalu inginkan syurga ALLAH. Dia tidak mahu kalah dengan suaminya. Alangkah bahagia andai aku dapat memasuki syurga bersama suamiku tercinta.

Arman terkedu.

Dia merasa bersalah teramat. Sebentar tadi baru dia melanggar azam taubat yang kerap kali dia hadapkan kepada ALLAH.

Apakah aku ini ditakdirkan untuk sentiasa melanggar hukum ALLAH? Bila lagi aku ingin berubah?

Penyesalan itu melintas hatinya sebentar, namun kekerasan yang mula bertapak di hatinya tidak membiarkan ianya bertapak lama.

Apa guna penyesalan yang tidak membawa perubahan? Desis keimanan yang berbaki di jiwanya.

Ah! Biarkan aku. Nanti aku bertaubatlah!

Apa kau nak tunggu sudah terlewat baru kau ingin mengubah dirimu?! Ketahuilah mati itu pasti! Bukan ke kau selalu baca Quran yang menyatakan perkara itu?

Takpe, aku minta umur aku panjang pada ALLAH. ALLAH tu kan pemurah, mesti beri punya!

Hati Arman semakin keras dalam pertarungan jiwanya antara iman dan hawa. Memberi seribu satu alasan untuk menangguhkan taubat.

Khaulah berjalan ke pintu rumah. Kerja di sekolah banyak, namun pencapaian hari ini cukup memberangsangkan. Dia tidak sabar untuk bercerita dengan Arman tentang hari yang dilaluinya.

“Ehem. Uhuk!” Batuknya tidak berkurang sepanjang hari. Bahkan barangkali ianya semakin teruk.

Tidak! Aku akan terus bersemangat. Sakit seringan ini tidak akan mengalahkan aku.

“Uhuk! Uhukk! Hukkkk!!” Batuknya semakin menjadi-jadi. Nafasnya semput. Kakinya terhenti langkah menahan kesakitan batuk yang kuat dan berterusan. Lututnya menjadi lemah.

Dia duduk di hadapan pintu tubuhnya kalah walaupun semangatnya masih utuh. Dia mengurut dadanya mencari kelegaan.

Setiap batuk itu mengundang tusukan tajam di sebalik tulang rusuknya.

“Uhuk! Kuhukk!!”

Arman terdengar suara batuk yang kuat di luar rumah. Dia terus bergegas keluar.

“Khaulah! Kenapa ni?!”

Khaulah tidak mampu menjawab. Sekadar mengisyaratkan kesakitannya. Matanya merayu kepada Arman agar dilegakan kesakitannya.

Arman mendakap Khaulah. Fikirannya bercelaru. Apa yang harus dia lakukan? Ubat? Hospital? Ke hospital dahulu? Ya. Itu tindakan pertama.

“Khaulah, masuk kereta Sayang. Kita ke hospital.”

Arman memecut kereta sepantasnya. Di sisinya Khaulah mengerut muka, mencuri nafas di celahan batuk.

Ya ALLAH, selamatkan isteriku, ya ALLAH!

“Doktor, bagaimana isteri saya?” Arman memandang ke katil yang menempatkan isteri yang tidak pernah lupa mengajaknya kepada kebaikan.

Mata yang selalu bersinar ceria itu kini tertutup layu. Tangan yang halus itu kini tertusuk saluran ‘intravenous.’ Raut wajahnya pula tertutup topeng pernafasan.

“Encik, sebelum saya ceritakan saya nasihatkan agar encik bersabar dan ingat kepada ALLAH.” Ujar Dr Halim. “Ini semua ujian dari ALLAH dan tidak ada ujian yang ALLAH berikan melainkan untuk menguji keimanan hamba-Nya.

“Isteri encik menghidap ‘Stage 4 Lung Cancer’.”

Dunia Arman seakan terbang lalu terbalik.

Ya ALLAH! Adakah engkau sedang membalas dosaku, ya ALLAH? Janganlah kau balas dosaku dengan menimpakan musibah atas isteriku, ya ALLAH! Aku rela kau balas dengan cara yang lain asalkan bukan isteriku, ya ALLAH!

Arman memegang tangan isterinya, mengusap lembut. Arman menatap isterinya yang sedang tidak sedarkan diri di bawah pengaruh bius.

“Sayang… Ini semua salah Abang.” air mata Arman menitis jatuh. “Abang buat salah pada ALLAH. Abang tak kuat. Abang tak pernah berjaya kekalkan taubat Abang.

“Ni balasan ALLAH untuk Abang, Sayang.”

Ya ALLAH, kau sembuhkanlah isteriku. Aku berjanji taubatku kali inilah yang sebenar. Inilah taubat nasuhaku.

Khaulah membuka mata perlahan. Suaminya lena berbantalkan lengan di sisinya. Beberapa bulan ini suaminya tidak pernah jemu menemaninya menjalani rawatan chemotherapy di hospital.

Kini tubuhnya terasa begitu lemah. Pipinya cekung. Beratnya menyusut. Rambutnya gugur bagai luruhnya daun dari pohon empat musim. Namun suaminya tidak pernah mengucapkan keluhan sepatahpun dan terus menemaninya hari demi hari.

Beberapa bulan ini suaminya tidak pernah jemu menemaninya menjalani rawatan chemotherapy di hospital.

Khaulah menggerakkan tangannya. Ah… Beratnya. Diusapnya pipi suami yang tidak kenal lelah, malah begitu setia menunggunya.

Abang. Andai Khaulah pergi dulu, Khaulah doakan Abang bahagia. Khaulah doakan agar ALLAH kuatkan keimanan dan kesabaran Abang.

Ya ALLAH, Kau balaslah segala jasa suamiku ini dengan balasan syurga yang sebaiknya. Kau gantilah segala pergorbanan masanya untukku dengan masa yang lebih indah kelak di syurga. Masukkanlah kami ke syurga, redhailah kami dan jauhkanlah kami dari api neraka.

**** tuuuuuuuuuuuuuuutt!

Garis lurus terpapar di skrin. Bunyi itu memotong bunyi suasana yang serabut di wad. Suara doktor dan pembantu perubatan yang berusaha mengembalikan denyutan jantung menjadi jauh di telinga Arman.

Arman berdiri di sebelah tepi kejadian. Mata terpaku pada alat yang melambangkan nyawa telah pergi. Denyutan nadi telah terhenti.

Wajahnya pucat. Kulitnya basah. Disirami peluh dingin. Tangannya terketar-ketar. Seakan tidak percaya peristiwa yang terbentang di hadapan mata.

Air matanya mengalir. Fikirannya buntu. Tidak mampu berbuat apa-apa.

Ya ALLAH… Ya ALLAH!!!

Arman melangkah maju di celahan kubur-kubur yang masih merah tanahnya. Maju terus hingga menemui kubur yang dicari. Tangannya menggenggam sekuntum bunga berwarna ungu. Bunga yang melambangkan kasih abadi.

Arman di sebelah kubur wanita yang baik itu. Bunga itu diletakkan sebaik-baiknya di atas kubur.

Hatinya kini redha dan lebih tenteram. Jiwanya telah sedaya upaya diusahakan pulih. Sehingga dia kini telah mampu meninggalkan maksiat yang mengacau jiwa.

Sudah setahun perkara terkutuk itu ditinggalkan. Sudah setahun jiwanya bersih. Setahun itu jualah Arman gunakan untuk mengubati kerinduan kepada Khaulah dengan mendekatkan diri kepada ALLAH. Setahun itu Arman penuhi dengan aktiviti yang sesuai menggantikan perbuatan buruk yang meruntuhkan iman.

Cetusannya… Pemergian insan yang amat Arman cintai. Kurniaan ALLAH ketika dia ada. Pencetus perubahan tatkala pemergiannya.

::::::::

Ku dedikasikan kisah ini buat isteriku tercinta.
Yang selalu mengajakku ke arah kebaikan serta tidak jemu dan berputus asa di atas jalan itu.

Post yang berjudul "Kasih Khaulah" telah ditulis oleh:

'Umayr Sayfurrahman bin Ainullotfi

Comments

comments

Powered by Facebook Comments